SegmenNews.com- Sejarah Islam mencatat bahawa terdapat sepuluh orang sahabat Nabi s.a.w dijamin masuk syurga. Mereka terdiri daripada empat khalifah al-Rasyidin, iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan diikuti Talhah bin Ubaidillah, Al-Zubair bin Al-Awwam, Saad bin Abi Waqqas, Said bin Zaid, Abu Ubaidiah al-Jarrah, Abdul Rahman bin Auf.
Demikian juga para sahabat yang terlibat dalam Perang Badar, juga Fatimah Az-Zahra, Hassan bin Ali, Hussin bin Ali, Tsabit bin Qais, Bilal bin Rabah dan kemudian disusul pula para sahabat yang menghadiri Bait Ar-Ridhwan yang berjumlah seribu empat ratus sahabat r.a.
Dalam perjuangan mempertahankan agama Islam, keutamaan mereka adalah berbeza dengan kaum Muslim yang lain dan ketinggian darjat mereka ditentukan oleh siapa di antara mereka yang paling dahulu memeluk Islam.
Pengetahuan Nabi s.a.w ke atas keistimewaan sahabat-sahabat yang dijamin syurga ini berasaskan kepada wahyu Ilahi bukan sekadar meneka-neka atau tafsiran nafsu semata-mata. Apatah lagi kita manusia biasa atau yang memperoleh ilmu laduni sekalipun tidak mampu untuk menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka kerana hak ini dalam pengetahuan Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w dan para sahabat walaupun sudah dijamin syurga, namun hakikatnya mereka sentiasa menangis siang malam memikirkan persoalan umat. Malah dari segi ibadat ritual, mereka cukup hebat jika hendak dibandingkan dengan kita amat jauh sekali. Malam mereka beribadah, siang mereka berjuang di medan perang.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Nasa’i, Anas bin Malik menceritakan satu kejadian yang dialami dalam satu majlis bersama Nabi s.a.w.
Suatu ketika Nabi s.a.w bersabda ketika duduk di masjid dan berbincang-bincang dengan sahabatnya, iaitu yang bermaksud:
“Sebentar lagi seorang penghuni syurga akan masuk ke mari.”
Beberapa saat kemudian masuklah seorang lelaki dengan air wuduk yang masih membasahi wajahnya. Apakah gerangan keistimewaan lelaki ini sehingga mendapat jaminan syurga. Dipendekkan cerita, Abdullah ibn Amr yang ingin mengetahui dan mencungkil rahsia keistimewaan lelaki ini kemudian menemuinya dan menceritakan masalahnya dan memohon untuk menumpang tidur di rumah lelaki tersebut.
Namun apa yang dilihat oleh Abdullah sepanjang tinggal bersama lelaki tersebut ialah sama seperti orang lain yang menjalani rutin kehidupan. Akhirnya, ‘Abdullah terpaksa berterus-terang dan lalu bertanya kepada lelaki tersebut, apakah yang dibuat sehingga ia mendapat jaminan syurga. Katanya, tidak lain ialah, saya tidak pernah menyimpan niat buruk terhadap sesama Muslim dan berasa iri hati terhadap seseorang yang dianugerah nikmat oleh Allah. Tidak pernah pula saya melakukan penipuan dalam setiap aktiviti saya. Itu saja kelebihannya dan lain-lain samalah seperti orang lain’.
Membersihkan hati dan tidak menyimpan prasangka buruk terhadap sesama Muslim kelihatan mudah tetapi hakikatnya amalan itulah yang amat susah untuk dilakukan.
Betapa sulit kita hendak menghilangkan kedengkian kepada orang yang tidak sehaluan dengan kita. Atau hanya kerana dia memperoleh kelebihan yang diberikan Allah dan kelebihan itu tidak kita miliki. Di hari kiamat kelak tidak ada orang yang selamat dengan harta dan kekayaan kecuali yang membawa hati yang bersih. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Pada hari itu tidak ada manfaatnya di hadapan Allah s.w.t harta dan anak-anak kecuali orang yang datang dengan hati yang bersih.” (al-Syura: 89)
Banyak jalan untuk ke syurga, demikian juga jalan ke neraka. Perbuatan menyebarkan berita palsu, memutuskan silaturahim, mengumpat, mengadu domba, menyakiti orang lain, membongkar aib orang yang beriman, semuanya ini jika dilakukan walaupun kita solat, kita tetap akan dimasukkan ke neraka Saqar.
Seperti digambarkan dalam al-Quran, orang yang sombong (QS 16: 22), Orang yang membanggakan diri (QS 28: 76), Orang yang berlebih-Iebihan (QS 6: 41), Orang yang bersifat dusta (QS 9: 75), Orang yang membuat kerosakan (QS 5: 64), Orang yang melampaui batas (QS 2: 140), semuanya harus dijauhi baik dalam hubungan duniawi apa lagi dalam persoalan akhirat kerana mereka bagaikan seekor lintah penghisap darah, apabila menempel pada kulit kehidupan umat Islam, maka darah keimanan seseorang itu akan dihisapnya habis-habisan.
Mereka yang dipandu oleh nafsu amarah dan lawammah yang menjadikan mereka sebagai lalai dan sesat.
“Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?” (al-Furqan: 43)
Mereka yang bertuhankan hawa nafsunya, akan melakukan apa sahaja yang dikehendakinya tanpa tersekat-sekat dan tidak pula mahu mendengar nasihat pengajaran.
Sungguh jelas sekarang bahawa nafsu “nafs” manusia merupakan persoalan syurga dan neraka. Kedua-dua bahagian nafsu tersebut jahat dan baik) masing-masing boleh membawa manusia ke tempat asalnya yang dijanjikan the promising land atau syurga dan ke tempat hukuman neraka, kedua-duanya adalah kerajaan Allah s.w.t yang berada di dalam dirinya.
Apabila manusia tidak berusaha untuk mengenal diri dan jiwanya, maka bencana dan kebinasaan akan datang kepadanya.
Sumber : http://jalanakhirat.wordpress.com/2010/11/24/manusia-yang-dijamin-masuk-syurga/